Menginsafi Perjalanan 39 Minggu


Selama ini, melihatkan ibu-ibu yang mengandung adalah perkara biasa yang menjadi fitrah kehidupan. Semestinya seorang lelaki tidak akan mengalaminya, walaupun setiap manusia kecuali Nabi Adam dan Hawa, keluar dari perut ibu masing-masing. Tetapi, melihat bagaimana isteri saya mengandung sungguh menginsafkan. Kini kandungan isteri sudah genap 39 minggu. Sering kali berlegar-legar di kepala, bagaimana mak ketika mengandungkan saya dahulu? Dengan tubuh mak yang kecil ditambah saizku yang besar, pasti sukar.
Alhamdulillah, isteriku tidak mengalami masalah-masalah rumit selama 39 minggu ini. "Morning sickness" juga tidaklah sampai muntah-muntah. Cuma keletihan dan rasa pening-pening. Selepas melalui 3 bulan pertama atau dipanggil trimester 1, semuanya kembali seperti biasa. Tidak lagi pening-pening lalat di waktu pagi. Rasa-rasa loya juga berkurangan. Lega juga melihat selera isteri yang tidak berkurang sejak awal kehamilan, malah bertambah-tambah. Bersembang dengan rakan-rakan dan sepupu-sepupu yang juga sedang melalui situasi sama sangat menyeronokkan. Setiap orang mempunyai cerita masing-masing yang boleh dikongsi.
Apabila dapat merasa reaksi dari bayi dalam kandungan, saya rasa sangat bahagia. Ajaib apabila dipikirkan kembali bagaimana seorang manusia boleh duduk dalam perut seorang ibu. Di kala bulan Ramadhan, si anak juga semakin aktif. Mungkin juga lapar disebabkan isteri saya berpuasa. Selepas berbuka, anak dalam kandungan pun senyap, mungkin tidur dengan kekenyangan.
Selasa ini, seperti dijadualkan akan dijalankan pembedahan disebabkan kedudukan bayi songsang. Masing-masing sedang berdebar-debar. Gembira dan takut. Semoga dipermudahkan oleh Allah.

Buat ibunda Maznah Binti Mat, terima kasih sebab sabar menjaga ku bermula di alam rahim lagi. Mohon ampun dan maaf atas salah dan silap, kecil atau besar, sedar atau tak sedar.

Buat isteriku Safaniza, tenang-tenangkan diri. Suamimu akan sentiasa menyokongmu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Review Buku: The 5 am Club - Robin Sharma

Sarapan Pagi di Sri Petaling

Satu kehidupan baru, sebuah putaran hidup