Satu kehidupan baru, sebuah putaran hidup


Hampir satu jam waktu telah berlalu. Di sebalik pintu-pintu kaca masih lagi lenggang, tiada kelibat jururawat atau doktor yang kelihatan.

"Ish, kenapa lama sangat ni" gusar ku.

Mak, abah dan adik-adik sudah lama tiba. Masing-masing menunggu di bilik pelawat. Saya masih lagi mundar mandir di hadapan pintu kaca wad pembedahan. Masih tiada lagi tanda-tanda akan selesai. Kini, jam menunjukkan hampir pukul 7 malam. Kelihatan jururawat masuk membawa katil kosong ke bilik bedah. Kami masih menanti di luar dengan resah. Mak dan abah kelihatan letih, kebetulan mereka berpuasa 6, waktu berbuka pun hampir tiba.

Akhirnya, pintu terbuka. Kelihatan seseorang sedang terbaring di atas katil yang ditolak jururawat tersebut. Sekuntum senyuman terbit dari wajah pucatnya. Kaget seketika. Tidak tahu apa yang saya lihat, hanya sekadar mimpi atau khayalan. Selimut hijau membalut sesuatu di sisi, tapi masih tidak jelas kelihatan. Mereka sudah pun berlalu tapi saya masih kaku. Ku atur langkah perlahan mengikuti mereka. Tiba-tiba mereka berhenti.

"Mari sini kat sebelah, jangan duduk jauh-jauh", kata jururawat sambil tersenyum.

Saya terus menghampiri, berpaut pada tepi katil dan sama-sama menolaknya untuk dibawa ke wad bersalin. Masih tidak percaya, satu susuk kecil berbungkus disebelah isteriku, isteriku masih tersenyum walaupun kelihatan letih dan pucat. Di sisinya, kelihatan susuk kecil dengan raut wajah kemerah-merahan, matanya masih tertutup rapat, pipinya yang tembam menenggelamkan bentuk wajahnya.

Ya Allah, aku bersyukur atas kurniaan Mu. Seorang anak sebagai tanggungjawab yang perlu dipikul, diberi didikan yang sempurna, dijaga dari segi emosi dan fizikalnya.


Maka lahir ke dunia, Adriana Iffah Binti Ahmad Nazrul pada 5/9/2011 jam 5.09 petang, 7 Syawal. Kehadiran yang ditunggu-tunggu, bukan sahaja buat kami berdua, malah Aki, Wan, Tok Wan, Opah dan Makcik Pakcik semuanya berkongsi kegembiraan. Cucu pertama bagi kedua-dua belah keluarga. Isteriku masih lagi tidak bergerak, kesan bius masih ada untuk mengelak rasa sakit. Pembedahan untuk mengeluarkan kandungan memang tidak sakit, tapi kesannya kemudian dirasa. Terima kasih sayang, semoga Allah melimpahkan rahmat atas pengorbananmu.

Iqamat dilaungkan perlahan di telinga kiri si kecil, mulanya terdengar suara ingin menangis tetapi terus senyap, panggilan dan seruan untuk ingat kepada yang Esa. Dirinya masih tidak mengerti, matanya juga hanya dibuka kecil.

"Anakku, kamu sudah berada di alam lain, alam dunia. Selamat datang anakku."

Maka bermula episod baru dalam kehidupanku. Sesungguhnya, satu perasan yang tidak dapat diterangkan terbit dari hati rasa syukur, gembira, gementar, takut semua bercampur-gaur. Permulaan kehidupan sebagai bapa dan ibu.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Review Buku: The 5 am Club - Robin Sharma

Sarapan Pagi di Sri Petaling