Pahit Manis 2015

Assalamualaikum,

Bertahun lamanya blog ni sunyi sepi. Baru sekarang terdetik kembali nak menulis. Tahun 2016, selepas pelbagai perkara berlaku di 2015.

Januari 2015:- ditipu pemilik rumah

Hujung 2014, tuan rumah di Apartment Anggerik yang kami sedang sewa telah menelefon. Bunyinya berat nak diluahkan, rupanya dia ingin masuk kembali ke rumah yang disewakan kat kami. Jadi, kami kena keluar sebelum Februari 2015. Masalahnya, rumah yang aku beli masih belum siap dan sewa masa sekarang ni tersangatlah mahal (masa ni kami sewa dalam RM 400 sebulan sahaja).
Pada mulanya, kami jumpa rumah sewa di Semarak 2, Nilai dan berjaya di"booked". Kira dekatlah nak pergi USIM. Tapi pada saat-saat akhir terpaksa dibatalkan sebab orang yang menyewa di Semarak tu tak nak keluar. Jadi, kami terpaksa cari rumah yang lain dan jumpa juga di Semarak. Lepas deposit dibayar, tiba-tiba dia tidak dapat dihubungi. setelah beberapa hari mencuba, memang sah aku kena tipu. Masa tu tinggal sebulan sahaja lagi kami kena keluar dari rumah di Anggerik.

"Mana aku nak duduk ni? Duit pun tak banyak, belum lagi kos pindah barang"

Rumah di Apt Anggerik. Memori 4 tahun di sini.
Beberapa hari yang stress sebab buntu tak tau nak ke mana. Alhamdulillah, wife pun faham dan tak tanya banyak. Tapi aku tahu, dia juga pun risau.

Tiba-tiba, satu petang tu aku dapat panggilan telefon dari kawan UTM. Lama juga tak berhubung, rupanya dia ada di Puchong melihat-lihat rumah yang baru dibeli. Bila macam tu, terus teringat kat aku, lalu terus call. Bila dah sembang-sembang tu, aku pun ceritalah yang aku nak kena keluar rumah siap kena tipu. Tak sangka, dia offer untuk sewa rumah dia. Ya Allah, memang tak sangka. Masa tu aku dah tak kisah berapa sewa asalkan ada rumah tempat berteduh. Akhirnya, hujung Januari kami sekeluarga pun pindah ke rumah kawan aku yang sebenarnya dalam taman yang sama pun, Taman Putra Perdana. Memang tak boleh lari dari TPP ni. Buat kawan ku, moga Allah rahmati usaha anda dan dipermudahkan segala urusan walaupun dia kini diuji dengan ujian berat di tahun 2016. Moga kekal tabah kawan.

2015 meredah awan.

Tahun 2014 merupakan tahun suram buat penerbangan Malaysia. Isu hilangnya MH370 dan meletupnya MH17 di sempadan Ukraine sangat-sangat mengejutkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah seluruh dunia. Di akhir 2014, Airasia Indonesia pula terhempas ketika penerbangan dari Surabaya ke Singapura.
     
Hari terakhir di Tanah Lot
Yang merisaukan aku, hujung Januari kami sekeluarga akan ke Pulau Bali. Memang 'cuak' juga lah. Selesai sahaja urusan pindah, kami terus berangkat ke Bali bersama isteri, anak-anak, mak mertua dan adik-adik ipar. Sebetulnya, aku ada konferens di Nusa Dua Bali yang telah dirancang awal. Alang-alang ke sana, bawa sekali keluarga jalan-jalan sebab kalau pergi seorang pun tak seronok nak jalan-jalan. Cuma waktunya agak kurang sesuai dengan laluan kapal terbang yang kami naiki hampir dengan laluan pesawat Airasia terhempas, disamping baru lepas mengangkut barang ke rumah sewa baru. Rumah pun macam tongkang pecah, belum sempat berkemas.

Walau bagaimanapun semua berjalan lancar. Perjalanan dan percutian yang sangat mengujakan. Sangat-sangat puas hati. Disamping, peluang bertemu dengan orang-orang fizik Indonesia yang membuka peluang untuk aku datang kembali ke Indonesia.


Mei 2015 pula aku ke Nanyang Technology University, Singapura untuk menghadiri konferens sempena ulang tahun terbentuknya teori yang dicipta oleh Prof CN Yang. Kali ni aku pergi sendiri memikirkan kos yang mahal dan aku pun tiada perancangan nak berjalan-jalan. Aku dapat berjumpa dan berkenalan dengan kawan-kawan baru, selain berinteraksi dengan saintis-saintis fizik luar negara. Disebabkan aku hanya duduk di hotel universiti tanpa pergi bersiar-siar, sepatutnya duit pun banyak lah jimat. Tapi, sempena konferen ini, World Scientific Press membuka kaunter jualan buku-buku dengan harga diskaun. Beratus juga habis aku borong buku-buku yang agak sukar dijumpa di kedai-kedai buku.

Bulan Ogos, aku ke Universitas Jember (UNEJ) atas jemputan sebagai invited speaker sempena SENAFIS. Perjalanan dari KL perlu turun di Surabaya sebelum meneruskan perjalanan selama 6 jam menaiki motokar ke Jember. Pelajar UNEJ yang datang mengambil aku dan juga seorang Prof dari ITB. Selain itu, Jember juga sedang menganjurkan Festival Fesyen, jadi usai konferen dapat juga menonton festival fesyen ala-ala festival di Brazil. Paling aku suka, layanan dari orang-orang Jember termasuk Pak Artoto selaku Ketua Jabatan.

3D Muzium di Langkawi
Hujung tahun pula kami sekeluarga ke Langkawi, juga disebabkan menghadiri konferen, Konferen ICSSST yang dianjurkan UPM ni berlangsung pada 14 dan 15 Disember iaitu Isnin dan Selasa, jadi aku ambil peluang untuk datang pada hari Jumaat sebelum konferen. Sempat juga kami berjalan-jalan sampai ke puncak Gunung Mat Cincang.


Cabaran baru 

Hari pertama mula bertugas
bersama Saudara Amin
Bulan Oktober, bulan paling sibuk selama aku kerja di USIM. Cakap-cakap orang mengenai calon Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Pengurusan Prestasi untuk Fakulti Sains dan Teknologi setelah lama dikosongkan apabila Prof Dr Norita dilantik menjadi Dekan. Dengar kata, nama aku diantara calon-calon untuk jawatan tersebut, tapi aku tak ambil pusing pun sebab ketika itu kuliah baru bermula. Sampailah akhirnya sah bila dapat salinan surat dari Dekan. Malam tu juga lah aku kena stay back kat pejabat untuk menyertai program pelajar. Kebetulan masa tu i-Fest sedang berlangsung. Dua bulan juga lah masa kelam kabut dan huru-hara, dengan kuliahnya, konferen yang bakal aku sertai, dan program-program pelajar yang sangat banyak di hujung tahun. Sampaikan masa awal-awal tu, tak sempat jumpa anak. Keluar sebelum anak bangun, balik masa anak dah tidur. Tapi lama-lama Alhamdulillah, dengan bantuan rakan-rakan di fakulti semua berjalan lancar.


Berehat di hospital

Lenguh juga kena masuk air ni.
Masih menuggu untuk masuk ke wad.
Tahun 2015 juga mencatat sejarah apabila aku terpaksa ditahan di wad akibat denggi, Pulang sahaja dari Langkawi, keesokannya aku terus demam. Lepas dua hari, aku mula muntah darah, langsung aku terus ke hospital. 12 jam juga lah aku terbaring kat katil wad pemantauan kecemasan sebelum dimasukkan ke dalam wad. Dapatlah 3 malam tidur di hospital dan 2 minggu MC. Lepas 2 minggu, aku terus masuk pejabat, nasib baik dah dekat cuti tahun baru. Badan pun masih lagi lemah, otak tak boleh nak fikir lagi dan tiba-tiba aku jadi pelupa. Dapatlah rasa kurus sekejap sebab masa denggi tu sekali dengan cirit-birit. Sekarang ni agak trauma bila nampak nyamuk.






Mengharap sinar mentari menyinar di tahun 2016

Tahun penuh cabaran dengan masalah politik, ekonomi dan perkauman. Kesan turut terasa di peringkat pengurusan universiti, bajet dipotong selain pensyarah-pensyarah telah ditamatkan kontrak. Namun begitu, aku berharap dan berdoa keadaan akan lebih baik dari semua segi. Dan semestinya ia akan mengambil masa yang lama. Seperti mana kesan kegawatan ekonomi 1998/99.

Wassalam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Review Buku: The 5 am Club - Robin Sharma

Sarapan Pagi di Sri Petaling

Satu kehidupan baru, sebuah putaran hidup