Anak Tanpa Gajet. 6 Cara Mengurangkan dan Menghentikan Ketagihan Anak Terhadap Gajet.

Gajet sudah menjadi sebahagian dari kehidupan generasi sekarang. Semestinya, tanpa gajet terutamanya telefon bimbit pasti meresahkan walaupun hanya sebentar. Kebergantungan dan keterikatan terhadap gajet sangat berkait dengan meningkatnya teknologi seperti internet yang pantas dan meluas, telefon pintar yang pantas, pengisian (content) seperti apps, media sosial, video yang banyak masa kini. Malah bertambah juga medium pembayaran seperti ewallet dan NFC menjadikan kita semakin sukar berenggang dengan gajet. Tetapi bagaimana pula dengan anak-anak kita? Dengan dunia tanpa sempadan kini, peluang anak-anak ini terdedah dengan pelbagai maklumat tanpa kawalan.

Apa yang merisaukan, kanak-kanak yang berumur kurang 10 tahun juga dilihat terdedah kepada gajet tanpa kawalan. Malah kita boleh kata yang mereka ini sudah sampai tahap ketagih kerena ketidakmampuan mereka menilai dan mengawal. Jadi sebagai ibubapa, pakcik makcik dan atuk nenek perlu mengawal penggunaan gajet kepada kanak-kanak.

Kesan Pendedahan Keterlaluan Kepada Kanak-Kanak.

Ini berdasarkan pengalaman saya dengan dua orang anak saya. Dapat dilihat apabila mereka terikat dengan gajet seperti tablet atau telefon pintar, impak yang buruk dapat dilihat seperti:


1. Sukar memberi tumpuan. Sangat sukar untuk menarik perhatian mereka malah jika memberi arahan pun tidak didengari. Ini kerana mata mereka sangat tertumpu kepada gajet sehingga sikar dilepaskan.

2. Tantrum. Ya mereka mudah mengamuk terutama jika kita menghalang mereka dari menggunakan gajet. Kita akan lihat mereka mengamuk dan sangat tidak terkawal.

3. Psikomotor. Kita boleh lihat kanak-kanak yang ketagih gajet ini kurang dari segi kemahiran psikomotor terutama kemahiran tangan seperti memegang pensel, membuka penutup botol atau bermain lego. Impaknya akan dapat dilihat apabila mereka mula bersekolah.

4. Kesihatan mata. Ya, boleh rabun malah silap haribulan boleh buta. Sudah ada kes yang dilaporkan media.

5. Kemahiran sosial. Kurang berinteraksi dengan masyarakat, berat mulut nak bercakap, mudah menengking bila tidak dapat apa yang dikehendaki atau mengganggu mereka melayan gajet dan banyak lagi.

6. Ketagihan. Ini yang paling sukar kerana mereka tidak lagi mampu mengawal keinginan mereka. Hatta kita yang dewasa pun sukar untuk mengawal ketagihan, apatah lagi kanak-kanak.

Tip Untuk Hentikan Ketagihan Gajet Untukk Anak-Anak.

Ini berdasarkan pemerhatian dan pembacaan saya. Jadi apa saya dan isteri lakukan untuk hentikan terus ketagihan anak-anak terhadap gajet?

1. Hak Kita.

"Minta balik fon mama"

"Dah habis tengok youtube tu nanti pulangkan balik tab abah tu"

Pastikan kita tegaskan yang telefon dan tab tersebut adalah milik kita. Bukan milik anak-anak. Jadi jika mereka nak pakai perlu minta kebenaran. Jika kita nak pakai, mereka perlu pulangkan. Nyatakan berulang kali yang gajet tu milik kita. Jangan sesekali kita sediakan gajet khas untuk mereka kononnya untuk memudahkan kita.

2. Tukar password

Tukar password atau key untuk membuka gajet. Apa-apa perlu kita sahaja yang boleh buka. Maka anak-anak tidak boleh membuka gajet tanpa kebenaran kita.

3. Buat perjanjian.

Kita buat perjanjian sebelum diberi gajet. Ini sangat penting supaya mereka sedar dan mengawal diri. 

"Mak bagi 1 jam sahaja ya. Pukul 1 kena berhenti tengok youtube".

Cukup 1 jam kita kena tegas minta mereka pulangkan. Dan jika mereka enggan, disini kita perlu guna kuasa veto dengan merempas gajet tersebut. Dan memberi denda dengan tidak memberi gajet selama 1 hari. Ini sangat berkesan, tapi kita kena tegas ya. Buat muka 'toya'. Jangan tewas dengan tantrum mereka.

4. Jangan cas bateri penuh.

Ini satu tips yang saya jumpa untuk kita kurangkan mereka menghadap gajet terlalu lama. Cuba cas sedikit sahaja dan kita tegaskan kembali perjanjian kita dengan anak yang bila habis bateri, pulangkan kembali.

5. Hentikan Terus Pemberian Gajet Kepada Anak.

Yang ini saya lakukan secara drastik. Berdasarkan pengalaman seorang blogger. Mula-mula akan ada la rayuan, drama air mata, amukan dan macam-macam lagi. Tapi semua kami tak layan. Untuk mengisi waktu mereka, jika di rumah, biarkan mereka bermain. Semestinya rumah akan bersepah, tetapi jangan risau, ia bagus untuk anak-anak kita. Kalau keluar, seperti makan kat luar, bawa buku atau kertas dengan pensel warna, dan biarkan anak-anak mewarna semasa menunggu hidangan sampai. Sangat berkesan sehingga menjadi habit.

6. Jadilah Teladan Terbaik.

Satu cara, kita pun jangan menghadap gajet ketika bersama anak-anak. Saya rasa ini lebih sukar. Tapi kita juga perlu tunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anak kita. Layan mereka bersembang. Tengok hasil lukisan mereka atau bersembang dengan pasangan anda. Nasihat ini untuk diri sendiri juga.

Diharapkan tip-tip ini dapat membantu. Tidak disangkal, pengunaan telefon dan tab dapat memudahkan tugasan kita. Contohnya, kita pasang Upin dan Ipin atau Diddy and Friend, anak sekecil 10 bulan pun boleh menonton dan ini memudahkan kita menjalankan kerja. Tetapi kesan kemudiannya sangat besar. Semakin lama kita beri, semakin kuat mereka terikat dengan video dan permainan di dalam telefon dan tablet, dan semakin sukar kita untuk pisahkan.

Yang penting kita bertegas, bukan berkeras ya.

Wassalam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Review Buku: The 5 am Club - Robin Sharma

Sarapan Pagi di Sri Petaling

Satu kehidupan baru, sebuah putaran hidup