Menelusuri Bukit dan Lembah - Pos Kuala Mu
Berkhemah di Kampung Gebeh Pos Kuala Mu, Sungai Siput Perak.
Tempahan dibuat 3 minggu awal. Hampir-hampir dibatalkan hasrat akibat si kecik demam dan juga musim hujan dan tanah runtuh. Kebetulan laluan ke Cameron Highland juga mengalami tanah runtuh.
Jumaat. Persiapan terakhir. Kereta pun hantar untuk 'alignment' dan 'balancing'. Isi minyak siap-siap dan topup touch n go. Perancangan untuk bergerak dari rumah jam 4 pagi.
4.30 pagi kami bergerak dari exit Putrajaya melalui lebuhraya Elite. Berhenti solat Subuh di RnR Tapah. Tak sangka pula ramai orang berhenti di Tapah. Akhirnya kami solat di surau Shell RnR Tapah.
Selesai solat, dalam jam 7 pagi, kami pun terus bergerak ke Utara. Berhenti di RTC Simpang Pulai dahulu untuk isi minyak sebelum meneruskan perjalanan. Untuk ke tempat perkhemahan, kami kena melalui Ipoh sebelum ke Chemor dan Sungai Siput.
Plan asal ingin bersarapan di Ipoh. Melihat pencarian di Google kami jumpa satu kedai yang 'review' sangat baik. Tapi bila sampai, ya ampun ramai orang. Beratur. Kedai Suhaimi terletak dalam kawasan Ipoh.
Melihat keadaan macam tu, kami batalkan hasrat bersarapan dan langsung bergerak ke Pos Kuala Mu. Dari Ipoh, melalui Chemor langsung ke Sungai Siput.
Dari bandar Sungai Siput, mengambil masa hampir 2 jam untuk sampai ke Pos Kuala Mu walaupun hanya berjarak 60 km. Kalau ikut carian, kita akan lalui jalan berbukit dan sempit.
Memang betul, bukit dengan kecerunan dalam 20 ke 30 darjah dengan laluan yang sempit. Di samping itu ada 2 kawasan yang jalannya runtuh manakala beberapa kawasan yang tanah runtuh. Cuak juga tapi tawakal je. Risau kenderaan dari depan yang laju sebab mereka yang menuruni bukit.
Akhirnya dalam jam 11 pagi, bunyi deruan sungai pun kedengaran. Jalan semakin landai. Akhirnya sampai ke Pos Kuala Mu. Perlu teruskan lagi untuk ke Kampung Gepeh, tempat kami berkhemah.
Cuaca Alhamdulillah, sangat baik. Cerah tanpa tanda-tanda nak hujan. Sampai sahaja ke Kg Gepeh, setelah melalui jambatan gantung kami terkejut sebab tapak perkhemahan penuh. Kereta juga nyaris-nyaris sangkut disebabkan lecak berhampiran kawasan perkhemahan.
Setelah mendaftar, saya keluar dahulu untuk mencari tapak. Bila tengok, tinggal satu tapak sahaja di hujung sekali. Terus bawa kereta berdekatan tapak tersebut, angkat barang-barang penting dan terus pasang khemah. Bukan apa, risau petang nanti hujan, tak sempat berkhemah, anak-anak pula tak puas mandi sungai.
Dengan menggigil kelaparan, kami siapkan pasang khemah. Budak-budak kami lepaskan je untuk mandi. Kebetulan sungai cetek betul-betul dihadapan khemah. Cik isteri dah siapkan masak nasi lemak dari rumah. Jadi kami pun makan lah dahulu. Lepas tu baru lah turun bersama untuk mandi. Nak bawa dikecik ni mandi sama.
Masuk je dalam air, Ya Allah, sejuk sangat. Dah macam ais. Memang menggigil kesejukan. Entah macam mana budak-budak ni boleh tahan. Kami yang tua ni memang tak tahan langsung. Tak pernah rasa air sungai sesejuk macam tu. Walau pun tengah hari, airnya tetap sejuk. Air agak laju dengan kawasan berbatu. Tapi ada sedikit ruang yang berlekuk dihalang batu. Jadi ok sedikit nak mandi.
Suasana agak meriah sebab ada 2 kumpulan yang datang berkhemah. Kami je lah yang datang sendiri-sendiri. Sempat bersembang dengan jiran-jiran yang peramah. Semua mereka dari Kedah.
Dalam jam 2 kami pun naik tukar baju, solat jamak qasar dan berehat. Ada yang sambung makan. Lepas tu tiba-tiba langit gelap. Terus turunkan sedikit 'flysheet' dan tarik sedikit barang-barang. Hujan turun cuma renyai-renyai dan sekejap sahaja.
Dalam jam 5 kami tengok cuaca ok. Anak-anak dah bising nak mandi, jadi turun sekali lagi mandi. Dah le sejuk. Sambil tu saya dok tengok juga air dari hulu sebab saya perasan air makin naik dan laju.
Untuk pengetahuan, sungai di Kg Gepeh ni adalah gabungan 2 sungai. Satu dari Cameron dan satu lagi dari Kelantan. Disebabkan kami duduk hujung sekali, kami duduk di sungai yang kecil manakala orang lain mandi di kawasan pertemuan kedua-dua sungai tu. Ikut cerita, sungai satu lagi tu panas sedikit airnya.
Tiba-tiba abang dari khemah berdekatan kami menjerit suruh naik. Saya perasan ada benda tak kena cepat-cepat angkat anak-anak naik le tebing. Rupanya kepala air datang dari sungai satu lagi terus ke pertemuan sungai. Terkejut juga kami. Bersyukur semua selamat. Lagi pula tempat kami dari punca air berbeza. Alhamdulillah tempat kami mandi tu tiada kepala air.
Malam, suasana dingin dan nyaman. Dengan angin dari hutan menghijau di sekeliling serta deruan air sungai di hadapan khemah kami sangat menyegarkan. Selesai makan malam, kami berkemas untuk tidur. Sampah-sampah dimasukkan ke dalam beg plastik dan diikat kemas. Flysheet direndahkan sedikit untuk mengelakkan basah di dalam kawasan khemah. Alhamdulillah malam kami lena walaupun kadang-kadang ada anjing yang mundar mandir di kawasan khemah kami.
Keesokan paginya, seawal jam 6 kami bangkit menunaikan solat subuh. Menggigil juga apabila air mengenai kulit ketika berwuduk. Mama mula menyediakan sarapan pagi ala barat. Telur hancur beserta sosej dan kacang panggang serta roti putih. Sambil menghirup kopi panas. anak-anak apa lagi, terjun sungai lah. Entah macam mana mereka ini bertahan. Saya hanya mampu melihat. Tidak tahan kedinginan air sungai entah dari Cameron atau dari Kelantan. Sejuk sampai ke tulang.
Tengah hari, upacara mengemas. Yang ini paling memenatkan. Biasa lah, lepas kemas, perlu memandu pula. Melalui celah-celah bukit dengan tanah runtuh, aduh perit sekali.
Apapun, sangat berbaloi untuk datang. Harap akan ada keuatan untuk pergi lagi.
Ulasan
Catat Ulasan