5 Persedian Sebelum Kuliah Bermula
Semester baharu bakal menjelma tidak lama lagi buat pelajar-pelajar universiti. Untuk pelajar baharu, tahniah diucapkan. Simpan sijil SPM, PMR dan UPSR anda kerana setelah masuk ke universiti, semua itu tak dikira. Pelajar-pelajar lama pula pasti mahu memperbaiki prestasi sebelum ini. Jadi ini beberapa tips yang boleh diikut jika anda mahu belajar secara tersusun (smart study) sejak dari awal semester.
1. Sediakan fail
Perlu sediakan fail untuk setiap subjek yang anda ambil. Kalau 7 subjek, 7 fail yang anda perlu sediakan. Tak perlu beli yang mahal, fail kertas yang berharga beberapa sen sahaja pun sudah mencukupi.
Apa yang nak diisi dalam fail tersebut?
Segala nota, tutorial, tugasan dan lain-lain lagi berkaitan subjek anda. Ini memudahkan anda mencari bahan bila diperlukan.
2. Dapatkan buku teks
Setiap subjek kebiasaannya akan menetapkan jenis buku yang akan digunakan. Ada pensyarah mewajibkan pelajarnya beli, ada pula yang menggalakkan sahaja. Tidak disangkal, harga buku teks terutama keluaran antarabangsa sangatlah mahal.
Satu cara adalah dengan mendapatkan buku dari senior anda. Harga biasanya jauh lebih murah hatta ada yang percuma.
3. Dapatkan 'Course Outline'
Apa tu? Course outline menjadi rujukan utama berkenaan sesuatu kursus seperti bilangan jam, topik berkaitan, penilaian yang akan dijalankan.
Dari mana nak dapat?
Kebiasaannya dalam e-panduan ada disediakan. Kalau tiada, cuba dapatkan dari senior masing-masing.
Penting ke?
Penting sangat. Dari situ kita boleh tahu apa yang akan dipelajari. Mudah untuk buat persediaan awal.
4. Tanya Senior
Sebelum bermula semester, anda boleh bertanya senior berkenaan subjek yang akan diambil. Adakah subjek tersebut sukar? Apa fokus subjek tersebut? Bagaimana kaedah penyampaian dan penilaian? Pensyarahnya macam mana? Apa kemahiran asas yang diperlukan (perlu mahir matematik/kena pandai melukis/kena tahu pengaturcaraan)?
Soalan-soalan ini akan memberi gambaran awal berkenaan subjek tersebut.
AMARAN: CARI SENIOR ANDA YANG POSITIF SAHAJA.
5. Gunakan Internet
Ya, banyak sumber kini diambil dari internet. Apa kata anda layari youtube atau mana-mana laman sesawang yang membincangkan topik untuk subjek yang anda akan ambil. Catat kata kunci yang perlu anda tahu atau yang anda kurang pasti. Ini akan membantu anda apabila kuliah bermula nanti.
Selain itu, boleh cari nota atau ebook berkaitan subjek. Malah boleh je jumpa bahan pembentangan dari pelbagai universiti di dunia.
Selamat maju jaya semua. Suatu kejayaan itu datang dengan usaha yang gigih.
Ulasan
Catat Ulasan