Najib ke Penjara

Menjadi berita penting di bulan kemerdekaan 2022, apabila Perdana Menteri Malaysia ke 6, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd Razak dikekalkan sabitan kes SRC di Mahkamah Persekutuan dengan hukuman penjara 12 tahun.

    Pelbagai reaksi dilihat di media sosial sama ada yang bersetuju, sedih, menghina dan pelbagai lagi. Diri saya sendiri, lega dengan tamatnya satu siri rasuah terbesar negara yang telah berlarutan hampir 4 tahun. Walaupun masih ada lagi kes yang sedang dibicarakan seperti kes 1MDB, sekurang-kurangnya satu kes telah selesai.

    Apapun, kita perlu hentikan dari mengelakkan, menghina dan mencerca Dato' Sri Najib. Beliau telah pun menjalani hukuman penjara. Cukuplah kita menjadi iktibar serta harapannya menjadi amaran buat semua sama ada ahli politik, pegawai kerajaan, pekerja swasta dan juga semua masyarakat.

    Melihat kembali perjalanan Dato' Sri, banyak sumbangan beliau. Sengaja saya tulis di sini untuk mengingati kebaikan yang mana secara langsung memberi kesan kepada saya.

"Maknanya kau pun sokong lah perasuah?"

Tidak, tidak sama sekali. Saya juga banyak kali mengkritik Najib sama ada di media sosial atau ketika sembang kopi. Kesalahan rasuah dengan jumlah yang besar tidak patut dilepaskan walaupun jasa beliau yang banyak. Hukuman perlu dikenakan.

    Cuma, saya mengambil peluang untuk menghargai beliau, dan mengelak membenci seorang bernama Najib Razak. Kita tidak bersetuju dengan jutaan ringgit yang disonglap, tapi pada masa yang sama kita perlu lihat juga cara berfikir dan tindakan beliau ketika mentadbir negara.

    Ketika sekolah menengah (1997 - 2001), sebagai anak tentera, Dato' Sri Najib ketika memegang jawatan Menteri Pertahanan (Menhan) banyak memberi bantuan kepada anak-anak tentera. Teringat kisah diceritakan oleh Arwah pengetua MRSM Terendak, yang mana beliau sendiri bertemu dengan Najib untuk memohon bantuan. Sebagai makluman, MRSM Terendak yang terletak di dalam Kem Terendak merupakan MRSM yang mempunyai dua mak, MARA dan ATM. Walau bagaimanapun, ada dua mak nampaknya tidak dapat membantu dari segi baikpulih dan menambah fasiliti di maktab. Ketika itu, MRSM masih memperuntukkan peratusan khas untuk anak-anak tentera terutama ketika Tingkatan 1.

    Alhamdulillah, Menhan bersetuju menyalurkan bantuan yang dimanfaatkan oleh pihak pengurusan Maktab untuk menambah baik fasiliti yang telah usang. Waktu itu juga, pihak Kementerian juga menyediakan bantuan khas serta hadiah untuk pelajar anak tentera yang berjaya ketika UPSR, PMR dan SPM. Sempat juga merasa untuk PMR dan SPM. Duit itu jugalah yang dapat digunakan ketika mula-mula masuk universiti.

    Di waktu yang sama, rumah-rumah di dalam kem tentera juga telah mula ditambah baik. Siapa yang pernah tinggal di kem tentera terutama kem yang kecil pasti faham keadaa rumah kelamin. Pembinaan rumah baharu serta baik pulih yang dijalankan dapat memberi keselesaan kepada keluarga.

    Kita tengok pula ketika beliau menjadi Perdana Menteri, ketika itu juga struktur gaji pensyarah telah dibaiki dan pensyarah dengan PhD akan diberi permulaan gred 51. Saya antara yang sempat merasai keadaan tersebut, walau pun selepas selesai PhD, terpaksa menganga juga la sebab semua universiti membekukan pengambilan pensyarah baharu. Alhamdulilah, penantian tersebut berbaloi. Lega dengan bantuan Prof Hasan dan juga rakan-rakan lain, dapat juga mencari rezeki di Universiti Malaya sehingga saya mendapat tawaran dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Melihat sumbangan Dato' Sri Najib terhadap negara, satu strategi yang saya sangat bersetuju adalah revolusi pengangkutan awam di Lembah Klang. Berlaku integrasi antara LRT (Star dan Putra), Monorail dan Komuter. Penambahbaikan sistem Komuter. Pengenalan sistem baharu seperti ERL, ETS, dan MRT. Selain itu, High Speed Railway dari Singapura ke Bangkok juga adalah prospek yang baik walaupun akhirnya dihentikan oleh kerajaan seterusnya. Projek-projek ini sangat penting dalam meningkatkan lagi ekonomi terutama di Pusat Bandar.

Saya percaya banyak lagi sumbangan beliau. Cukuplah beberapa perkara yang saya tulis sekadar menghargai sumbangan beliau. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Review Buku: The 5 am Club - Robin Sharma

Sarapan Pagi di Sri Petaling

Satu kehidupan baru, sebuah putaran hidup