Trip ke Medan - Perjalanan Yang Panjang
Salam. Setelah hampir 3 minggu barulah saya berkesempatan menulis di blog. Memang banyak perkara yang ingin dicoretkan, apakan daya masa tidak mengizinkan. Perjalanan saya pada awal bulan April bersama isteri ke Medan, Pulau Sumatera Indonesia. 'Honeymoon kedua' buat kami. Tiket penerbangan Air Asia awal-awal lagi sudah dibeli ketika promosi yang dibuat Air Asia. Penerbangan dari lapangan terbang tambang murah LCCT ke lapangan terbang antarabangsa Polonia mengambil masa 40minit sahaja. Pemergian kami dengan perasaan yang gusar, di kala Jepun bergelut dengan kesan tsunami yang baru menimpa, terdapat khabar berita mengatakan akan berlaku gempa bumi di Indonesia. Selain itu, banjir melanda Kota Medan seminggu sebelum kami berangkat. Walaubagaimanapun kami bertekad untuk meneruskan juga percutian kami kali ini. Kami tiba lebih kurang jam 2.00 petang. Selepas melepaskan lelah dengan minum di kafe berhampiran, kami menaiki teksi ke Raja Taxi. Syarikat yang menyediakan pengangkutan ke beberapa tempat di luar Kota Medan. Matlamat kami, ya Danau Toba. Sebuah tasik semulajadi hasil dari letusan gunung berapi yang kuat, serta terdapat pulau di tengah-tengah tasik tersebut. Hotel kami terletak di Parapat, sebuah kawasan di pinggir tasik Toba.
Acap kali saya ditanya oleh rakan-rakan, apa yang menarik di Medan? Satu tarikan utama adalah Danau Toba. Perjalanan sejauh 150km mengambil masa 6 jam untuk kami tiba ke Parapat. Tiada lebuhraya yang dibina ke situ menyebabkan perjalanan mengambil masa yang lama selain pemandu terpaksa menghantar penumpang-penumpang lain ke tempat yang dituju.
Dengan menaiki Toyota Innova, ianya cukup selesa untuk perjalanan jauh, cuma makcik yang duduk sebaris dengan kami yang mana pertama kali menaiki charted bus seperti itu meletakkan beg disebelahnya menyebabkan ruang untuk kami agak sempit. Jam menunjukkan pukul 8.00 malam, kami masih lagi di Siantar, pekan kecil terakhir sebelum sampai ke Parapat. Mengikut kata pak supir, 1 jam perjalanan lagi kami akan sampai. Jalan ke Parapat kelihatan gelap gelita. Risau juga kami dibuatnya, dengan pemanduaan ala-ala F1, kami hanya pasrah mengharapkan tiada apa-apa berlaku. Semakin hampir kami ke Parapat, kelihatan lampu-lampu nun jauh dihadapan. Saya pasti kami sudah berada di kawasan tasik, namun kegelapan malam menghalang kami melihatnya. Setibanya di Parapat, kelihatan seperti bandar yang sangat meriah. Kami sangkakan Parapat ini mungkin pekan kecil, tapi ianya sebuah tempat yang meriah dengan ramai pelancong yang menginap di sini. Kami di bawa ke Hotel Inna Parapat yang kami tempah semasa di Malaysia lagi. Hotel ini berstatus 3 bintang berharga RM 190 dan mengadap Danau Toba. Walaupun biliknya tidaklah terlalu bersih, tetapi cukup untuk kami menghilangkan lelah. Kami merancang untuk ke pulau keesokan paginya. Pulau Samosir dikatakan sebesar Singapura dan terhasil secara semulajadi. Kami melelapkan mata dengan angin malam yang sejuk menyegarkan walaupun bilik tersebut tidak disediakan penghawa dingin atau kipas.
Ulasan
Catat Ulasan