Kenapa Orang Lain Tidak Mahu Berubah?

"Isteri aku ni selalu tak kemas rumah, bersepah je rumah bila aku balik kerja", ngomel amin kepada rakan sekerjanya.

"Pelajar ni tak faham-faham. Penat kita ajar dalam kelas. Bila suruh buat latihan tak nak buat"

Tidak Mahu Berubah

Acap kali kita mengharapkan perubahan berlaku disekeliling kita. Semestinya perubahan tersebut menghala kepada kebaikan. Namun yang terjadi adalah sebaliknya. Tiada siapa yang berubah atau mahu melakukan perubahan. Keadaan ini mungkin berlaku di rumah, di tempat kerja atau di jalan raya.

Si guru yang mahukan anak muridnya menjadi rajin.

Anak murid mahukan cikgunya mengajar dengan lebih baik.

Isteri yang mahukan suaminya berubah kepada rajin menolongnya di rumah. Suami pula mahukan isteri rajin di rumah.

Pemimpin mahukan yang dipimpin meningkatkan prestasi. Yang dipimpin pula mahukan pemimpin mengambil berat kebajikannya.

Jadi siapa yang patut berubah?

Apa Tindakan Kita

Manusia diberi akal fikiran untuk berfikir. Dengan akal tersebut, semestinya kita mampu berfikir dengan baik. Bertindak dengan kewarasan fikiran dengan membezakan baik dan buruk. Oleh itu, kita diberi kekuatan untuk mengubah diri sendiri.

Kita ambil contoh, antara pensyarah dengan pelajar. Semestinya pensyarah ingin memastikan pelajar faham apa yang diajar. Tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Pelajar tidak faham apa yang diajar.

Jadi, apa tindakan pensyarah tersebut?

Semestinya pensyarah tiada kuasa untuk memaksa pelajar-pelajar tersebut untuk memahami dan memberi fokus di dalam kelas. Walau disergah sekali pun, jika pelajar tidak memberi sepenuh hati semestinya jiwa dan raganya tiada dalam dewan kuliah walaupun jasadnya ada.

Pensyarah juga tidak boleh untuk menukar pelajar. Semestinya.

Sama juga dengan pelajar. Kerap kali juga pelajar menghadapi masalah memahami pembelajaran. Mungkin juga gaya penyampaian tidak menarik. Atau suasana kelas tersebut yang tidak selesa.

Apa pilihan pelajar?

Menegur pensyarah?

Pastikah pelajar yang pensyarah itu boleh menerima teguran?

Pernah juga berlaku kes yang mana pelajar membuat laporan ke pihak atasan berkenaan cara mengajar pensyarah. Apa yang terjadi adalah, pensyarah tersebut masih lagi mengajar di kuliah tersebut dan menekankan yang beliau akan mengekalkan cara mengajar tersebut. Jadi, berkesankah?

Kita Perlu Berubah

Melihat situasi di atas, fokus dilihat kepada mengubah orang lain. Pensyarah cuba mengubah pelajar. Pelajar cuba mengubah pensyarah.

Kenapa tidak KITA YANG BERUBAH?

Si pensyarah, fokuskan tenaga anda untuk mengubah cara penyampaian dalam kelas. Gunakan pelbagai kaedah untuk menarik minat pelajar. "Tapi pelajar sama je, masih tak faham". Disitu kita kena lihat, ia bukan kuasa kita kerana Allah yang memberikan kefahaman. Yang penting, pensyarah perlu berusaha membuat perubahan dalam diri sendiri. Jangan diharapkan pelajar tersebut berubah menjadi rajin. Memang tidaknya.

Pelajar pula bagaimana?

Pelajar juga perlu mengubah diri sendiri untuk disesuaikan dengan gaya pengajaran pensyarah. Selidik dahulu dengan senior bagaimana pensyarah anda menjalankan kuliah atau kelas. Bersedia lebih awal, semestinya tiada pensyarah yang tidak suka pelajarnya bersedia.

Kesimpulan

Pokok pangkalnya, kita yang perlu berubah. Masing-masing perlu merubah diri ke arah yang lebih baik. Jangan mengharapkan orang lain berubah untuk kita kerana ia tidak akan berlaku seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Review Buku: The 5 am Club - Robin Sharma

Sarapan Pagi di Sri Petaling

Satu kehidupan baru, sebuah putaran hidup