Pengunaan Kerusi Khas Kanak-Kanak Satu Keperluan?
Telah tersebar berita mewajibkan kanak-kanak untuk duduk dikerusi khas ketika menaiki kenderaan. Semestinya berita ini mengemparkan ramai pihak. Ada yang bersetuju, dan ada pula yang membantah. Dikhabarkan, peraturan ini akan dilaksanakan pada tahun 2019. Relevankah untuk dilaksanakan di Malaysia?
Ramai yang telah pun menggunakan kerusi khas kanak-kanak dalam kenderaan masing-masing terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar besar. Semestinya ia memudahkan terutama untuk ibu atau bapa yang perlu bergerak sendirian tanpa pasangan. Dengan itu, kerusi kanak-kanak tersebut membantu sedikit sebanyak supaya pemanduan lebih lancar.
Namun ada juga yang enggan meletakkan anak masing-masing di kerusi kanak-kanak. Ada yang tidak tahan mendengar anak menangis. Tidak kurang juga yang mana tantrum anak yang tidak terkawal. Boleh rosak mood untuk pergi bekerja.
Bagi saya, kita tidak boleh menuduh ibubapa tersebut sebagai cuai hanya kerana tidak meletakkan anak-anak mereka dikerusi kanak-kanak. Cuma saya ingin berkongsi sedikit bagaimana kami usahakan supaya anak-anak dapat duduk dalam kerusi masing-masing ketika di dalam kereta.
Tiada Pilihan
Pada asalnya saya melihat ia tugasan yang mustahil. Lagi-lagi anak yang sulung, Nana sangat kerap menangis. Boleh meroyan dibuatnya. Tapi saya ambil kata-kata nasihat dari kawan saya Dr Khairi. Beliau ketika menyambung pengajian PhD di UK, 'terpaksa' meletak anak-anak dikerusi khas kanak-kanak ketika di dalam kereta. Jika tidak, dia akan disaman oleh pihak berkuasa. Dalam pound sterling ya. Apa yang beliau lakukan? Biarkan sahaja anak menangis. Lama kelamaan anak-anak tersebut sudah terbiasa malah lebih selesa untuk duduk dikerusi masing-masing.
Prinsip itu yang kami suami isteri amalkan. Ya benar, lain orang lain ragamnya. Tidak kurang juga anak-anak kami. Jika si kakak lebih banyak menangis sehinggalah mencapai umur 2 tahun. Si adik pula mula 'buat perangai' ketika usia hampir mencecah 2 tahun. Berbagai helah digunakan untuk keluar dari 'kongkongan' yang mengikat pinggangnya. Nak susu lah (masa tu dia masih lagi menyusu badan). Selesai sahaja menyusu boleh pula buat-buat tidur. Kerap juga merayu-rayu nak duduk depan bersama mamanya, tapi kami tak endahkan. Jawapannya tetap tidak. Alhamdulillah, kini si adik sudah berumur 3 tahun dan kakak pula kini 6 tahun. Masing-masing selesa ditempatkan dikerusi masing-masing.
Adik gembira, kakak pula sedang mengantuk. |
Jangan Sekali-kali...
Perkara yang tidak sekali-kali kami lakukan adalah memandu sambil mendokong anak. Sangat-sangat merbahaya. Mungkin juga ketika itu kami menggunakan kereta manual, jadi sesuatu yang sangat mustahil untuk memandu sambil memegang anak. Walaupun begitu, kami memang tidak membenarkan sama sekali anak-anak duduk diriba ketika memandu.
Kerap kali juga kami hilang sabar lagi-lagi saya. Bergegar juga kereta bile jeritan 'tarzan' ni keluar. Tapi tidak sama sekali kami benarkan mereka keluar dari kerusi masing-masing ketika kereta sedang bergerak. Sekarang anak-anak sudah faham tempat mereka di mana. Semestinya mereka lebih selesa sebab anak-anak boleh menikmati pemandangan luar tanpa perlu memanjat-manjat, dan juga selesa untuk tidur.
Pelaksanaan di Malaysia
Pendapat saya, dari segi keselamatan ia perlu diwajibkan kepada semua. Walau bagaimanapun, soal ekonomi perlu diambil kira. Rata-rata yang mempunyai anak lebih dari tiga orang semestinya mengalami kesukaran jika menggunakan kereta sedan. Selain itu, kos kerusi khas juga bukanlah murah dan semestinya menyukarkan ibubapa. Ramai juga yang memerlukan dua kerusi untuk satu orang anak disebabkan si bapa menghantar anak ke pengasuh, manakala si ibu pula yang mengambilnya dari rumah pengasuh. Maka perlu ada dua kerusi khas kanak-kanak disediakan di kereta ibu dan bapa tadi. Maka kos juga meningkat.
Kerusi juga ada peringkat berbeza mengikut umur dan berat. Jika umur atau berat melebihi dari yang dibenarkan oleh pengeluar, kita perlu mendapatkan kerusi yang baru. Saya sukakan kerusi berwarna kelabu (seperti dalam gambar di bawah yang kakak Nana duduk). Jika anak semakin besar, penyandar belakang boleh dicabut dan hanya gunakan tapak (untuk tinggikan). Jadi lebih lamalah kerusi ini dapat digunakan.
Kerusi merah tu asalnya kakak Nana punya. Lepas kakak Nana dah besar, kami belikan yang baru. Adlan pula yang pakai kerusi merah. |
Apa yang saya risaukan adalah peraturan yang tidak dikuatkuasakan. Jika ini berlaku, rakyat Malaysia tidak lagi menghormati undang-undang. Kita lihat sahaja kes penggunaan lorong kecemasan yang agak panas dalam setahun dua ini. Walhal peraturan tersebut telah pun wujud lebih lama cumanya selepas beberapa kes kemalangan dan kesukaran pihak penyelamat jika berlaku kemalangan, pesalah akhirnya diambil tindakan. Kita boleh lihat, penggunaan lorong kecemasan terutama ketika kesesakan lalulintas semakin berkurangan.
Nasihat saya untuk ibubapa yang baru mendapat cahaya mata, perlu anda letakkan bajet khas untuk pembelian kerusi kanak-kanak. InsyaAllah ia akan banyak membantu terutama ketika dalam perjalanan jauh, Yang penting adalah keselamatan anak-anak dan pada masa yang sama, kita juga menerapkan disiplin kepada anak-anak sejak dari awal lagi.
Ulasan
Catat Ulasan